PERKONGSIAN SEBUAH SELAWAT YANG MENYENTUH HATI KITA SEMUA

 PERKONGSIAN SEBUAH SELAWAT YANG MENYENTUH HATI KITA SEMUA 


Allāhumma ṣalli 'alā Sayyidinā Muḥammadin wa 'alā ālihi 'adada mā yalīqu bika wa kamālihi.


للَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ عَدَدَ مَا يَلِيقُ بِكَ وَكَمَالِهِ


Maksudnya:

"Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda sebanyak bilangan yang layak dengan keagungan-Mu dan kesempurnaan Baginda."

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya, aku masih diberikan kesempatan untuk terus hidup, menikmati nikmat kesihatan, serta dikurniakan rezeki yang mencukupi untuk aku dan keluarga.

Aku bukanlah seorang yang kaya dengan harta benda. Kehidupan kami hanyalah sederhana, tetapi aku bersyukur kerana Allah sentiasa mencukupkan keperluan kami. Sesungguhnya nikmat yang paling besar bukanlah banyaknya harta, tetapi hati yang sentiasa merasa cukup dan bersyukur dengan pemberian-Nya.Disamping itu aku sering mndokan anak anak aku agar diberikan kesihatan dan kejayaan dunia dan akhirat.

Dalam perjalanan hidup ini, aku masih berusaha menuntut ilmu agama daripada pelbagai sumber — daripada guru-guru, sahabat, usrah serta majlis-majlis ilmu yang aku hadiri. Semuanya aku lakukan kerana ingin menambah bekalan ilmu untuk kehidupan dunia dan lebih utama lagi untuk kehidupan akhirat.

Sehinggalah pada suatu hari, seorang sahabat berkongsi tentang satu selawat yang disampaikan oleh seorang Habib dari Indonesia . Beliau menceritakan tentang kisah dan kelebihan selawat tersebut yang begitu menyentuh hati.

Dikatakan selawat ini diperoleh daripada seorang yang bernama Ahmad Ad-Dardir. Dalam sebuah kisah mimpi, beliau telah bertemu dengan Rasulullah SAW.

Dalam mimpi tersebut, beliau berkata kepada Rasulullah SAW:

"Ya Rasulullah, aku telah berselawat kepada mu sebanyak 100,000 kali setiap malam. Adakah terdapat seseorang yang mempunyai selawat lebih banyak daripada aku?"

Lalu Rasulullah SAW menjawab bahawa terdapat seseorang yang selawatnya lebih banyak dan lebih besar nilainya.

Ahmad Ad-Dardir bertanya:

"Berapakah jumlah selawatnya, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab bahawa orang tersebut hanya berselawat sebanyak 11 kali, tetapi ganjaran dan maknanya lebih besar daripada selawat yang dilakukan sebanyak 100,000 kali.

Lalu beliau bertanya:

"Apakah selawat tersebut, ya Rasulullah?"

Maka inilah selawat yang dimaksudkan:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ عَدَدَ مَا يَلِيقُ بِكَ وَكَمَالِهِ

"Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga Baginda sebanyak bilangan yang sesuai dengan keagungan-Mu dan kesempurnaan Baginda."

Sejak mendengar perkongsian ini, aku mula mengamalkannya selepas solat fardu Maghrib dan Subuh. Bukan kerana mengejar jumlah semata-mata, tetapi sebagai tanda cinta, penghormatan dan kerinduan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya terdapat pelbagai kelebihan apabila kita mengamalkan selawat ini, antaranya:

  • Mendapat pahala yang besar kerana selawat ini memuji Allah dan Nabi SAW.
  • Mendapat syafaat atau pertolongan Nabi SAW di hari akhirat kelak.
  • Mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Semoga perkongsian kecil ini menjadi asbab kita semua semakin mencintai Rasulullah SAW, memperbanyakkan selawat ke atas Baginda dan mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.


Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sallim.

Wallahu a'lam.


 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama