PERMATA BERHARGA YANG HILANG

PERMATA BERHARGA YANG HILANG  





DIFFUSE INTRINSSIC PONTINE GLIOMA (DIPG)

"This tumor is the principal cause of death among brain tumors affecting childhood. Most patients are diagnosed before seven years of age. After diagnosis, median survival is usually nine months. Only 10% live for more than two

2 years." Anak ku hanya hidup dalam tempoh 2 tahun😭

2011… tahun yang tidak akan pernah aku lupakan. Tahun itu menjadi noktah hitam dalam perjalanan hidup keluarga kecil kami. Tahun di mana langit yang pernah cerah tiba-tiba menjadi kelam, dan harapan yang pernah mekar, hancur berderai.

Satu-satunya anak lelaki yang menjadi pelita hati kami disahkan oleh Pakar Onkologi dan Radioterapi di Hospital KPJ menghidap pontine glioma – sejenis ketumbuhan di batang otak, pusat saraf yang mengawal segalanya; dari denyutan jantung hingga hembusan nafas, dari langkah kecil hingga gerakan jemari. Tumor yang jarang berlaku ini kebiasaannya menyerang kanak-kanak… dan anak kecil itu adalah anakku.😭😭😭

Pakar menjelaskan bahawa tiada pembedahan yang mampu dilakukan. Hanya rawatan kemoterapi untuk memperlahankan pertumbuhannya. Kata-kata itu menghentam jiwa aku seperti asteroid yang jatuh dari langit, memusnahkan seluruh kota harapan dalam hati seorang ayah. Aku  terduduk. Luluh. Tiada lagi kata yang mampu terucap selain:

"Ya Allah… kenapa aku? Kenapa anakku?"

Sejak itu, hidup kami berubah 360 darjah menjadi medan ujian. Hari-hari kami diwarnai air mata, doa, dan pengharapan. Selama 44 hari kami berkampung di hospital. Anak kecil itu – walaupun lemah – masih sempat tersenyum, masih sempat bermanja. Namun jauh di sudut hati aku tahu… masa tidak memihak kepada kami.

Ujian Allah datang bertimpa-timpa. Rumah tangga aku turut dilanda badai besar melanda keluarga ini sehingga mencetuskan perubahan besar. Tetapi aku memilih untuk berdiri teguh, kerana di hadapan aku, ada seorang anak kecil yang lebih memerlukan kekuatan aku dan keluarga kecil ku. Kami berikhtiar, mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kuala Lumpur walau menelan belanja yang besar. Isteriku sanggup menjual tanahnya di Penampang demi sebuah harapan menjadi alasan untuk terus melangkah walaupun semua tampak mustahil.

Hampir dua tahun kami berjuang. Anak aku  semakin lemah. Dia tidak lagi mampu berdiri. Dunia aku terasa semakin gelap. Hanya doa yang menjadi pelita. Kami ke Tanah Suci Makkah, merayu pada Allah agar dikurniakan sebuah keajaiban. Sementara kami di sana, anak aku dijaga oleh seorang ustazah yang setia membacakan ayat-ayat suci al-Quran di sisinya.

Namun, takdir Allah lebih mengetahui. Setelah kembali ke tanah air, doktor menasihati agar anak aku dibawa pulang kerana beliau telah terlalu lama di wad Palliative Care Hospital Queen. Hari-hari berikutnya terasa begitu pilu. Seorang demi seorang pesakit di sebelahnya pergi meninggalkan dunia yang fana. Aku hanya mampu memeluk anakku, membaca Yassin, dan merintih dalam sujud panjang:

"Ya Allah… jika kesembuhan bukan miliknya, izinkan aku redha dengan pemergiannya."

Dan akhirnya, tepat pada 8 Ramadan, di bulan yang penuh keberkatan, anak kecilku itu pergi… kembali kepada Penciptanya dengan tenang.

Aku meraung. Air mata tidak berhenti mengalir. Aku mendukung tubuhnya yang kaku ke ICU. Doktor hanya memandang aku dan isteri dengan wajah penuh simpati lalu berkata,

"Relakanlah, tuan. Dia telah lama menderita."

Di saat itu, aku memandang ke langit dan berbisik perlahan:


"Ya Allah… aku reda. Aku serahkan anakku kembali kepada-Mu. Beri aku kekuatan untuk meneruskan hidup ini, membesarkan empat orang puteriku, dan terus melangkah walau hati ini berkecai dan luluh serta menggangu rantaian kehidupan aku."

Kesedihan itu tidak pernah hilang. Tetapi di sebalik kehilangan, aku belajar… bahawa dalam setiap air mata, ada kekuatan yang Allah titipkan. Dalam setiap derita, ada rahmat yang tersembunyi.

Dan di sinilah aku berdiri – sebagai seorang ayah yang pernah kehilangan, tetapi tidak pernah berhenti berharap pada kasih sayang Allah yang tidak bertepi.

Dan di sinilah aku berdiri –😭
bukan sebagai lelaki yang kalah oleh takdir,
tetapi sebagai seorang ayah yang belajar
bahawa kehilangan bukan penamat kasih,
hanya jalan pulang untuk hati yang mencari.

Aku pernah rebah,
namun tangan kasih-Nya tidak pernah melepaskan genggaman.
Air mata menjadi doa,
kesakitan berubah menjadi kekuatan,
dan di setiap ruang yang pernah kosong,
Aku temui rahmat yang melimpah tanpa batas.

Kerana kasih Allah itu tidak bertepi –
di situlah aku berdiri,
bukan dengan luka, tetapi dengan harapan,
bahawa setiap kehilangan
hanyalah undangan untuk kembali lebih dekat
kepada cinta-Nya yang abadi.



Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama