ANEKDOT KENANGAN BERKHIDMAT SEBAGAI PEGAWAI EKSEKUTIF (PPT) DI NEGERI SABAH

 

ANEKDOT KENANGAN BERKHIDMAT SEBAGAI PEGAWAI EKSEKUTIF (PPT) DI NEGERI SABAH



Perjalanan sebagai seorang Penolong Pegawai Tadbir (EO) bukan sekadar melaksanakan tugas hakiki di pejabat, tetapi merupakan satu amanah besar dalam memastikan urusan pentadbiran kerajaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat sabah. Bermula dengan lantikan pada tahun 1994, perjalanan kerjaya ini telah melalui pelbagai cabaran, pengalaman dan kenangan yang tidak ternilai sepanjang berkhidmat di Negeri Sabah. Jika dihitung sehingga tahun 2026, genaplah lebih kurang 32 tahun perkhidmatan dalam sektor awam.

Penempatan pertama bermula di Hospital Beluran pada tahun 1994 sebagai seorang Penolong Pegawai Tadbir (EO) muda yang masih mencari pengalaman dan menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan sebenar. Pada ketika itu, Beluran merupakan sebuah daerah yang jauh dari kesibukan bandar. Kemudahan yang terhad, perjalanan yang mencabar serta suasana kerja yang serba sederhana menjadi antara cabaran awal dalam perkhidmatan. Namun di situlah bermulanya proses pembelajaran sebenar tentang erti tanggungjawab, disiplin dan pengorbanan seorang penjawat awam.

Di sinilah juga aku mula mengenali keunikan masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan budaya. Dari situlah aku belajar bahawa untuk diterima di tempat orang, kita perlu menghormati adat dan cara hidup masyarakat setempat. Aku masih ingat bagaimana aku mula berkenalan dengan masyarakat Dusun, Sungai, Rungus dan pelbagai lagi suku kaum di daerah Beluran. Malah di situlah juga aku pernah mengenali seorang gadis Dusun berambut perang keemasan hasil pewarnaan rambut yang ketika itu menjadi trend anak muda Sabah. Kenangan itu mungkin kecil bagi orang lain, tetapi cukup manis untuk dikenang dalam perjalanan hidup seorang anak perantau dari Semenanjung.

Sebagai Penolong Pegawai Tadbir (EO) N06, tugas bukan hanya melibatkan urusan pentadbiran pejabat semata-mata, tetapi turut merangkumi pengurusan kewangan, penyelarasan sumber manusia, pengurusan aset, penyediaan laporan, penyelarasan mesyuarat serta memastikan operasi harian organisasi berjalan lancar. Dalam keadaan staf yang terhad ketika itu, banyak tugas perlu dilaksanakan secara serentak. Kadangkala terpaksa bekerja sehingga lewat petang demi memastikan segala urusan dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Pada ketika itu juga, pengetahuan dan pengalaman aku masih sangat terhad. Sebagai pegawai muda yang datang dari “Malaya” dan berbangsa Melayu Islam, tidak semua pihak mudah menerima kehadiran aku pada peringkat awal. Ada pandangan sinis, ada juga rasa kurang percaya daripada segelintir kakitangan. Namun aku percaya bahawa keikhlasan dan sikap hormat terhadap budaya setempat mampu merapatkan jurang perbezaan.

Aku sentiasa berpegang kepada pepatah:

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.”
“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.”
“Belajar adat di negeri orang, supaya mudah diterima orang.”

Pepatah inilah yang banyak membantu aku menyesuaikan diri dengan masyarakat Sabah sehingga akhirnya hubungan sesama rakan sekerja dan masyarakat setempat menjadi sangat akrab. Sedikit demi sedikit, aku belajar memahami budaya mereka, bahasa pertuturan mereka dan cara hidup masyarakat di daerah tersebut. Dari situlah lahirnya rasa hormat dan kasih terhadap bumi Sabah yang akhirnya menjadi sebahagian besar perjalanan hidup aku.

Walaupun banyak cabaran ditempuhi, pengalaman hampir empat tahun di Beluran meninggalkan kenangan yang cukup bermakna. Pengalaman turun padang membantu masyarakat, menghadapi situasi kecemasan di hospital serta belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai kerenah manusia menjadi antara pengalaman paling berharga dalam membentuk kematangan diri aku sebagai seorang penjawat awam.

Pada tahun 1998, aku berpindah pula ke Hospital Duchess of Kent Sandakan. Persekitaran kerja yang lebih besar dan sibuk memberikan cabaran yang berbeza. Di hospital utama tersebut, urusan pentadbiran menjadi lebih kompleks dan memerlukan ketelitian yang tinggi. Sebagai Penolong Pegawai Tadbir (EO) N29, aku perlu berurusan dengan pelbagai bahagian, kakitangan pelbagai gred serta pelanggan awam setiap hari. Di sinilah kemahiran komunikasi, pengurusan konflik dan kepimpinan mula diasah dengan lebih mendalam.

Tahun 2001 menjadi titik penting apabila aku diberi peluang bertugas di Badan Pencegah Rasuah Kota Kinabalu. Pengalaman di jabatan ini sangat bermakna kerana banyak membuka mata tentang nilai integriti, ketelusan dan amanah dalam perkhidmatan awam. Tugasan di sana menuntut tahap kerahsiaan dan disiplin yang tinggi. Banyak pengalaman yang mengajar bahawa seorang penjawat awam bukan sekadar bekerja untuk menerima gaji, tetapi memikul tanggungjawab besar menjaga kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Pada tahun 2003 pula, aku berpindah ke Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Di jabatan ini, cabaran bertambah kerana melibatkan urusan dokumentasi PASPORT, penguatkuasaan serta pengurusan berkaitan warga asing pentadbiran dan kewangan Sabah sebagai negeri yang mempunyai kedudukan strategik sememangnya memerlukan pengurusan imigresen yang cekap dan teliti. Sebagai Penolong Pegawai Tadbir (EO) N32, pengalaman mengurus pelbagai urusan pentadbiran serta berhadapan dengan situasi yang mencabar banyak mengajar tentang ketegasan, kebijaksanaan membuat keputusan dan pentingnya bekerja di bawah tekanan.

Tahun 2006 menjadi satu lagi detik bermakna apabila aku diberi kepercayaan untuk naik pangkat dan bertugas di Pejabat Pelesenan Pelancongan Negeri Sabah yang terletak di Bangunan KWSP. Hampir 10 tahun berkhidmat di sektor pelancongan memberikan pengalaman yang sangat luas dan berbeza daripada jabatan sebelumnya. Dunia pelancongan mempertemukan aku dengan pelbagai agensi kerajaan, pemain industri pelancongan, pengusaha hotel, syarikat pelancongan serta pelawat dari dalam dan luar negara. Tahun yang sama aku menamatkan pengijazahan Ijazah Sarjana Muda aku di bidang Sastera (Sejarah & Psikologi )UKM Bangi di Fakuti FSKK.

Dalam tempoh tersebut, banyak pengalaman manis dan pahit ditempuhi. Antaranya mengurus pelesenan, penyelarasan operasi penguatkuasaan, pengurusan pelanggan daripada syarikat-syarikat pelancongan serta memastikan pematuhan prosedur oleh pengusaha pelancongan termasuk kuatkuasakan akta pelancongan 1992 dan akta kenderaan pelancongan 1999. Cabaran tetap ada, terutama apabila berdepan dengan tekanan kerja, perubahan dasar dan tuntutan pelanggan yang pelbagai. Namun pengalaman itulah yang membentuk keyakinan dan kematangan dalam dunia pentadbiran kerajaan. Operasi penguatkuasa bersama agensi lain seperti PDRM ,DBKK dan Rela memberikan pengalaman yang sangat bermakna disamping bersama agensi ini mengadakan roadblock untuk mengesan Kenderaan Pelancongan tanpa lesen. Pertelingkahan bersama pemandu van van yang tidak berlesen banyak memberikan pengajaran kepada diri aku bukan mudah untuk sebuah syarikat pelancongan memastikan perniagaan mereka berjalan lancar kerana kegiatan haram sentiasa menghantui mereka. Makanya tugas kami memastikan agar kegiatan haram ni tidak menjadi berleluasa di negeri sabah demi keselamatan pelancong dalam dan luar negeri yang melawat Negeri di bawah bayu ini.

Kini, setelah dipindahkan daripada sektor pelancongan pada kedudukan Gred N36 selama enam tahun, aku meneruskan khidmat bakti dalam sektor pendidikan dengan memegang Gred N08 (N40/N41). Walaupun bidang tugas berubah mengikut peredaran masa, tanggungjawab sebagai penjawat awam tetap diteruskan dengan penuh dedikasi dan amanah.

Dunia pendidikan pula memberi ruang yang sangat besar untuk aku memahami pengurusan sumber manusia dalam skala yang jauh lebih luas . Di sektor pendidikan, aku belajar banyak perkara dalam mengendalikan urusan sumber manusia dan pentadbiran, bermula daripada Sektor Pengurusan sehinggalah ke Sektor Sumber Manusia Unit Prestasi yang mengendalikan hampir 40,000 guru dan lebih 7,000 anggota kumpulan pelaksana (AKP) di dengan 24 Pejabat Pendidikan Daerah seluruh negeri Sabah. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana setiap keputusan dan tindakan memberi kesan kepada ribuan warga pendidikan di negeri ini. aku bersyukur mendapat seorang pegawai yang memahami dan banyak mengajar aku erti pengurusan prestasi dan merupakan sahabat aku yang terbaik.

Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat di bumi Sabah, terlalu banyak kenangan yang tersimpan. Ada waktu penat, ada waktu diuji dengan tekanan kerja, namun tidak kurang juga saat-saat indah bersama rakan sekerja yang menjadi keluarga kedua sepanjang perkhidmatan. Pengalaman berpindah dari satu jabatan ke satu jabatan lain menjadikan aku lebih matang, lebih berpengalaman dan memahami pelbagai aspek pentadbiran kerajaan.

Sesungguhnya, perjalanan sebagai Penolong Pegawai Tadbir (EO) bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi sebuah perjalanan hidup yang penuh pengorbanan, amanah dan pengalaman berharga. Pahit manis sepanjang 32 tahun berkhidmat di Negeri Sabah akan terus menjadi kenangan yang tidak ternilai sampai bila-bila.

Kini, perkhidmatan aku hanya tinggal sekitar lima tahun lagi sebelum menamatkannya dengan sebuah persaraan yang indah, andai umur dan kesihatan masih direstui oleh Allah SWT. Insya-Allah.

Kenangan ini aku abadikan di blog ini untuk dikongsikan kepada anak cucu aku suatu hari nanti. Banyak perkara telah berlaku sepanjang perjalanan kerjaya ini, namun tidak semuanya perlu diceritakan di sini. Biarlah sebahagiannya kekal menjadi memori dan rahsia perjalanan hidup seorang Pegawai Eksekutif (PPT/EO) yang pernah menumpang bakti di bumi Sabah tercinta.

PPT (EO) Batch 1994.




Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama